Tuesday, January 28, 2014

Reviu Samsung Galaxy Y S5360

Kali ini, saya nak buat reviu Samsung Galaxy Young S5360. Oppss, bukan Galaxy Y Neo tauu..dua-dua telefon yang berbeza! Samsung Galaxy Young ni antara telefon Android yang paling asas di pasaran. Tapi sayangnya, dah tak banyak telefon jenis ini dijual lagi. Model ini telah digantikan dengan model Galaxy Y Neo yang lebih pantas. Tapi, untuk mereka yang masih mahu membeli telefon model ini "second-hand", inilah reviu untuk anda. Buatlah pertimbangan ya! :)

Samsung Galaxy Young S5360 : Telefon Android Untuk Pengguna Bajet



Telefon ini sangat asas. Dengan RAM cuma 290MB dan pemproses berkelajuan 830MHz, tak banyak perkara yang boleh dilakukan. Paling menyedihkan dan banyak mendapat komen negatif adalah memori dalamannya yang cuma 180MB! Baru "install" beberapa aplikasi, sudah penuh! Dengan pemproses yang "sekadar ada", sistem akan sering tergendala terutamanya jika menjalankan aplikasi yang menggunakan memori yang tinggi. Kadangkala, telefon perlu dihidupkan semula (restart) atau paling teruk, terpaksa tanggalkan bateri dan hidupkan semula.

Samsung Galaxy Young didatangkan dengan kamera 2 Megapixel yang bagi saya tidaklah terlalu cemerlang. Ada lebih banyak kamera 2 Megapixel dari telefon jenama lain seperti Nokia yang lebih cantik gambarnya.

Untuk sistem operasi, Galaxy Young didatangkan sekali dengan Android 2.3 (Gingerbread) dan tidak dapat dinaiktaraf lagi kerana perkakasannya yang tidak mampu menampung versi Android yang lebih baru. Namun, versi Android ini masih relevan kerana kebanyakan aplikasi dalam Google Play masih boleh dipasang ke dalam Samsung Galaxy Young ini.

Penggunaan kuasa (power consumption) untuk telefon ini agak tinggi. Samsung Galaxy Young menggunakan bateri 1200mAh yang bagi pendapat saya terlalu rendah untuk telefon pintar. Setiap hari, bateri perlu dicas walaupun dengan penggunaan biasa. Aktifkan WiFi, dan anda hanya mampu bertahan setengah hari. Hidupkan GPS, Google Maps / Waze dan paket data untuk navigasi, anda hanya akan mampu bertahan satu jam sebelum baterinya habis. Disarankan anda menggunakan "powerbank" apabila menggunakan telefon model ini.

Kesimpulannya, Laman ICT memberikan Samsung Galaxy Y S5360 dengan 3 Bintang. Telefon ini sangat berpatutan harganya dan sesuai untuk pengguna baru telefon pintar. Namun, masih banyak kelemahan yang terdapat dalam telefon ini seperti kapasiti bateri yang rendah dan memori dalaman yang rendah. Jika anda betul-betul kesuntukan wang, Samsung Galaxy Young memang sesuai untuk anda, dengan harga serendah RM230 untuk model "second hand". Namun jika ada duit lebih, belilah model lain seperti Samsung Galaxy Y Neo yang lebih baharu, dan merupakan versi Galaxy Y yang diperbaharui. Atau, jika ada lebih lagi, Laman ICT menyarankan model telefon pintar dari Lenovo kerana harganya yang berpatutan dengan spesifikasi yang tinggi. Bijaklah membuat pilihan!

:)

Entri menarik